Monday, 27 June 2011

Pencubaan itu Indah Bersama Yesus

Ada sebuah ungkapan yang mengatakan "selagi kita hidup, kita tidak lari daripada masalah". Pencubaan adalah merupakan perkara yang dikatakan sebagai masalah hidup. Tidak ramai orang menyedari bahawa pengalaman hidup yang sukar dan penuh cabaran merupakan satu cara Tuhan membentuk kita. Tetapi lebih ramai orang yang mengeluh ketika dia mengalami saat-saat seperti itu dalam hidupnya. Sebenarnya, jika kita memandang pencubaan itu seperti mana Tuhan memandangnya, kita akan dapat mengerti untuk apakah setiap pencubaan itu datang kepada kita.

Didalam Alkitab ada ramai orang yang dapat menjadi contoh kepada kita berkenaan dengan masalah pencubaan ini. Antara lain ialah Musa. Musa dibentuk di padang gurun demi untuk satu tujuan yang mulia bagi bangsanya Israel. Bukanlah merupakan suatu kebetulan apabila Musa harus bersembunyi dipadang gurun dalam jangka masa yang lama, ketika melarikan diri daripada Firaun. Tuhan ada suatu rencana yang khusus bagi dia. Cuba fikirkan, bagaimana cekapnya Musa pada dalam memimpin bangsanya yag begitu ramai untuk melalui perjalanan di padang gurun untuk membawa mereka keluar dari Mesir. Seandainya dia tidak dibentuk melalui pencubaan selama dia melarikan diri dari Firaun, bagaimana mungkin dia mampu memimpin bangsanya melalui padang gurun untuk sampai ke tanah yang dijanjikan oleh Allah kepada bangsa Israel. Ternyata Musa telah dibentuk terlebih dahulu melalui kesukaran hidupnya selama pelariannya agar dia mampu membawa bangsanya melalui kesukaran di masa hadapan.

Bukan hanya Musa, masih ada ramai lagi tokoh dalam Alkitab yang dapat menjadi contoh bagaimana mereka membiarkan Tuhan membentuk mereka melalui pencubaan tersebut dan menjadikan mereka orang penting dalam sejarah Alkitab. Tidak banyak bezanya dengan orang kristian masa kini. Setiap orang melalui pembentukan yang berbeza-beza namun dengan tujuan yang satu iaitu untuk memuliakan Tuhan kita Yesus Kristus.

Jadi, apabila kita memandang semua pencubaan dalam hidup kita dengan cara yang benar iaitu bagaimana Tuhan memandangnya, (untuk pembentukan kita) maka kita akan melaluinya dengan hati yang damai dan bersukacita. Ingatlah bahawa sesuatu perkara dalam hidup kita adalah membawa kebaikan saat kita mahu mempelajarinya dan melaluinya dengan mata tertuju kepada Tuhan. Jangan merasa putus asa dan kecewa tetapi belajarlah menerima segala pencubaan dengan bersyukur kepada Tuhan oleh kerana Dia cukup baik kepada anda dengan memberikan kekuatan untuk menghadapi semua pencubaan tersebut. Tuhan Yesus memberkati!